Jakim siasat jantina sebenar usahawan kosmetik Nur Sajat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memulakan proses pengesahan jantina usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman, kata Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof.

Beliau berkata, keputusan akan diumumkan selepas proses yang dijangka memakan masa sekurang-kurangnya sebulan itu selesai.

“Mengambil maklum persoalan masyarakat susulan pertemuan saya dengan Nur Sajat dan ibu bapanya, maka saya ingin jelaskan kami bersetuju beberapa proses perlu dilalui Nur Sajat untuk pengesahan identitinya secara rasmi.

“Proses ini mengambil masa panjang dan melibatkan banyak pihak. Dijangka paling kurang dalam tempoh sebulan,” katanya di Facebook, hari ini.

Pertemuan pertama kedua-dua pihak berlangsung di Wisma Nur Sajat, Shah Alam, pada 16 Januari lalu, selepas usahawan itu menyatakan kesediaan bertemu Jakim berhubung isu berkaitan dirinya yang menjadi perhatian masyarakat.

Isu jantina Nur Sajat yang sentiasa menjadi perhatian kembali diperkatakan, selepas blogger kontroversi Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris memuat naik klip video yang memaparkan dia membuat panggilan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung Sajat.

Dalam rakaman itu, Muhammad Azri meminta Jakim mengambil tindakan kepada Nur Sajat yang didakwanya membawa pengaruh buruk kepada masyarakat.

Namun, Nur Sajat membalas kenyataan itu dengan mendakwa Muhammad Azri bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dia tidak melayan mesejnya, selain ingin mempromosikan pusat gim miliknya.

-malaysiakini.com