Kegagalan 100 hari HARAPAN jadi senjata kempen

PAS akan menekankan isu kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menunaikan manifesto janji 100 hari serta komposisi kerusi yang tidak seimbang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang PRK Dun Seri Setia.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua isu berkenaan dilihat penting memandangkan ia berkait dengan kepentingan rakyat.

Katanya juga, rakyat telah menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan kerajaan menunaikan janji di dalam manifesto mereka.

“Dalam konteks negeri, perlu suara pembangkang yang kuat untuk mengimbangi kerajaan.

“Sekarang kita cuma ada lima suara pembangkang dalam DUN Selangor. Sebab itu kita perlu ada semak dan imbang yang kuat dalam kerajaan negeri.

“Isu kedua adalah apabila peralihan pentadbiran berlaku, rakyat boleh menilai prestasi selama 100 hari yang dijanjikan kerajaan dan sejauh mana mereka mampu menunaikannya,” katanya ketika hadir di Pusat Penamaan Calon PRK Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

PM bagi markah 33 peratus

Anggota parlimen Kubang Kerian itu turut berkata kerajaan sendiri telah mengakui kegagalan mereka apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sekadar memberi markah 33 peratus kepada prestasi pentadbiran sepanjang 100 hari mentadbir.

“Kita melihat pada PRU14 lalu, rakyat ‘termakan’ dengan janji dan manifesto Pakatan Harapan kerana mereka ingin melihat perubahan kepada negara.

“Tetapi apa yang berlaku hari ini, mereka meluahkan rasa kecewa menerusi media sosial terhadap kegagalan kerajaan menunaikan manifesto yang dijanjikan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata parti itu akan menggerakkan jentera mereka bagi membantu calon PAS.

Katanya, selain jentera kempen, Umno juga akan menyenaraikan beberapa penceramah berkaliber untuk menyokong PAS sepanjang 21 hari tempoh kempen.

“Soal bantu berkempen, tiga pergerakan Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan gerakkan jentera mereka bagi bantu kempen PAS.

Titik-tolak kerjasama rasmi Umno-PAS

“Kita juga akan bincang dengan PAS mengenai keperluan lain yang akan diperlukan. Majlis Tertinggi Umno juga akan menyediakan penceramah bagi program kempen,” katanya.

Ismail turut menganggap PRK Seri Setia secara tidak langsung menjadi titik-tolak kerjasama rasmi antara Umno dan PAS biarpun bukan secara hitam putih.

“Hari ini saya menganggap kerjasama Umno dan PAS adalah rasmi walaupun tiada perjanjian di atas kertas. Kehadiran pimpinan Umno dan sokongan yang diberikan jelas menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti semakin baik.

“Jika dibandingkan dengan PRK Sungai Kandis tempoh hari, hubungan kali ini lebih baik dan kita komited untuk pastikan PAS menang di Seri Setia,” katanya.

Hadir sama bersama Ismail, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad dan Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali dengan nama Papagomo. -MK