Kerajaan tahu Jho Low sembunyi di mana

Ketua Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin berkata, kerajaan tahu ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low berada di mana.

“Kami tahu di mana dia berada. Sebelum ini dia berada di Macau.

“Saya fikir kerajaan tahu di mana dia berada,” katanya pada sidang media mengenai mandat CEP dan cadangannya kepada kerajaan, di Menara Ilham hari ini.

Kedudukan Jho Low masih menjadi misteri, walaupun laporan mengatakan beliau mungkin berada di Macau.

Beliau antara tumpuan dalam siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat ke atas skandal 1MDB.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis China juga tidak tahu di mana Jho Low berada.

Daim berkata, akan ada beberapa pembeli terhad yang berminat dengan kapal layar mewah, Equanimity yang kini di bawah tahanan pihak berkuasa Malaysia.

“Dan kos penyelenggaraan adalah tinggi. Jho Low mampu membelinya kerana ia bukan wangnya.”
Jho Low didakwa menyeleweng berbilion ringgit dari 1MDB dan dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, walaupun bekas perdana menteri itu pada Jun lalu berkata, beliau tidak lagi berhubung dengannya.

-FMT