Kes tukang emas Lubnan saman Rosmah

Kerajaan hari ini berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dalam kes saman yang difailkan oleh syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peguam kanan persekutuan Alice Loke Yee Ching, ketika ditemui pemberita, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin membenarkan permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dalam kes saman tersebut.

“Berikutan keputusan ini, Global Royalty Trading SAL perlu meminta pernyataan tuntutannya untuk memasukkan kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-2,” kata beliau.

Beliau juga berkata Jabatan Peguam Negara akan meneliti saman itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Kerajaan memohon untuk menjadi sebahagian daripada kes saman Global Royalty terhadap Rosmah atas alasan barang kemas itu milik kerajaan dan dibeli menggunakan wang yang dicuri. Rosmah dinamakan sebagai defendan tunggal dalam kes saman tersebut.

Pada 26 Jun, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah menuntut beliau memulangkan balik 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa Rosmah merupakan pelanggan tetapnya dan syarikat itu akan menghantar konsainmen barang kemas mengikut permintaannya. Beliau kemudian akan menilai atau membeli barang kemas yang dipilih melalui pembayaran sama ada oleh defendan atau melalui pihak ke-3.

Firma itu, yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan kaya dan ternama dari seluruh dunia, mendakwa barang kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan dan dalam keadaan tertentu, Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Plaintif juga mendakwa defendan akan menerima barang kemas tersebut secara peribadi atau melalui kakitangan/ejen di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Firma itu mendakwa 10 Februari tahun ini, ia menghantar 44 unit barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 hingga AS$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi 2 ejen syarikat itu.

Plaintif berkata semasa penyerahan, defendan juga mengakui dan menerima terma-terma dan syarat-syarat dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang-barang kemas tersebut.

Global Royalty mendakwa Rosmah dalam surat bertarikh 22 Mei juga mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas itu tetapi berkata barang kemas tersebut tidak lagi berada dalam milikannya kerana disita dan kini berada di bawah jaghaan pihak berkuasa Malaysia.

Firma itu mendakwa pada sepanjang masa, plaintif adalah pemilik barang kemas tersebut dan pemilikan itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Global Royalty memohon perintah mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas, dan perintah yang menyatakan pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

 

-FMT