Pasang 300 iklan mohon maaf pada teman wanita

Kalau hati si teman wanita sudah terguris, memang sukar untuk dipujuk kembali. Dalam kebanyakan masa ia tidaklah sukar, permohonan maaf yang jujur pun sudah mencukupi.

Namun, di Pune, India, seorang lelaki mengambil pendekatan memasang lebih 300 papan iklan dan poster mohon maaf kepada teman wanitanya yang dipercayai “merajuk”.

Menurut laporan berita tempatan, bandar kecil di pinggir bandar Pune semalam dikejutkan dengan papan iklan dan poster tertulis, “Shidve, I Am Sorry!” (Shivde, Saya Minta Maaf!).

Lelaki itu, seorang ahli perniagaan bernama Nilesh Khedekar, 25, bertengkar dengan teman wanitanya, Shidve menyebabkan wanita itu merajuk dan pulang ke Pimple Saudagar dari Mumbai.

Ekoran itu, Nilesh mengambil inisiatif untuk menarik perhatian Shidve bagi mendapat kemaafan dengan mengupah sekumpulan anak muda bagi memasang ratusan poster pelbagai saiz di seluruh kawasan kejiranan kekasihnya.

Poster dan papan tanda tersebut dipasang di bangunan, tiang lampu dan papan iklan sebelum ia diturunkan oleh pihak berkuasa.

Perkara itu itu bagaimanapun menarik perhatian netizen yang berkongsi berita itu secara viral di laman-laman sosial.

Sama ada Shivde memaafkan teman lelakinya atau tidak, belum dipastikan.

Apapun, rata-rata netizen berpendapat kaedah yang digunakan Nilesh sangat romantik sungguhpun merumitkan. -FMT