Penjaga gol paling mahal di dunia

Kepa Arrizabalaga memecahkan rekod yuran perpindahan bagi penjaga gawang paling mahal melalui penyertaannya dari Athletic Bilbao ke Chelsea dengan bayaran £71.6 juta.

Arrizabalaga, atau sebutan mudah yang lebih disenangi penyokong barunya di Stamford Bridge, ‘Kepa’ memecahkan rekod itu tidak sampai sebulan selepas ia disandang oleh Alisson Becker yang menyertai Liverpool dengan bayaran £66,9 juta.

Perkembangan terbaru itu sekali gus meletakkan yuran perpindahan Gianluigi Buffon (£32.6 juta) ke Juventus pada 2001 di tangga keempat dan penyertaan Ederson (£35 juta) ke Manchester City pada 2017 di tangga ketiga.

Mengulas penyertaannya ke Chelsea, Kepa berkata ia keputusan penting untuk hidup dan kerjayanya sebagai ahli sukan.

“Banyak perkara yang tarik saya ke kelab ini, semua kejuaraan yang pernah mereka menangi, pemain-pemain lain, bandarnya dan Liga Perdana Inggeris.

“Ia gabungan kesemua perkara ini dan saya sangat berbesar hati Chelsea meletakkan kepercayaan kepada saya,” katanya.

Kehadiran Kepa, yang kini berusia 23 tahun, dilihat tepat pada masanya selepas penjaga gawang The Blues, Thibaut Courtois dijangka berpindah ke Real Madrid dalam masa terdekat.

Bakat Kepa diasah seawal dia berumur 10 tahun melalui akademi Athletic Bilbao.

Hanya selepas 10 tahun lagi baru Kepa mendapat kepercayaan penuh daripada jurulatih Ernesto Valverde sebagai penjaga gawang utama kelab itu pada musim 2016-2017.

Bercakap tentang Kepa, Valverde menggambarkan bekas anak buahnya itu sebagai mempunyai refleks yang laju.

Berdasarkan rekod, pada musim lalu, Kepa berjaya menggagalkan 64 sepakan dari dalam kotak penalti seterusnya meletakkanny sebagai penjaga gawang ketiga terbaik di Liga Sepanyol.

Malah, sebelum menerima tawaran Chelsea, Kepa dikatakan menolak tawaran Real Madrid kerana enggan menjadi pilihan kedua.

Sementara bagi jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri, dia mula meletakkan Kepa sebagai sasarannya sejak musim lalu ketika mengendali Napoli.

“Saya melihat dia bermain setahun lalu. Tanggapan pertama saya adalah dia penjaga gawang yang sangat bagus, sangat muda tetapi sangat-sangat bagus.

“Orang yang dekat dengan saya tahu bahawa saya adalah orang yang selalu menganalisis segala hal sebelum membuat keputusan.

“Saya berterima kasih kepada kelab karena telah menghormati keputusan yang saya buat,” katanya. -MK