Pegawai Imigresen koyak pasport

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Johor mengesahkan menerima aduan mengenai dakwaan rakyat Singapura dihalang memasuki negara ini selepas pasportnya didapati rosak dipercayai sengaja dikoyakkan pegawai jabatan itu.

Mangsa turut mendakwa, pegawai Imigresen itu turut meminta wang sekiranya mahu memasuki Malaysia.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Rohaizi Bahari berkata, aduan diterima pada 12.30 tengah malam semalam dan kertas siasatan sudah dibuka.

“Kita menerima aduan mengenai salah laku seorang pegawai Imigresen yang dikatakan merosakkan pasport pelawat milik seorang warga asing.

“Siasatan sudah dibuka terhadap pegawai yang berkenaan pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius terhadap perlakuan salah laku yang membabitkan pegawai Imigresen dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil jika terbukti kesalahannya.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan,” katanya.

Semalam, pengguna Facebook (FB) bernama Muhammad Fauzi memuat naik status di laman sosial miliknya mendedahkan kejadian menimpanya.

Dia mendakwa ditahan oleh seorang pegawai Imigresen di kaunter masuk Linkedua, Bangunan Sultan Abu Bakar, Tuas yang mempersoalkan pasportnya yang koyak pada 11.30 malam kelmarin.

Lelaki itu mendakwa pegawai berkenaan menghalangnya memasuki Malaysia kerana keadaan pasport yang koyak walaupun diberitahu dia perlu segera pulang ke rumah menemui isterinya.

“Pegawai itu kemudian mennyuruh saya kembali ke Singapura kerana pasport saya koyak, melainkan sekiranya saya rakyat Malaysia, dia akan melepaskan saya masuk,” dakwanya yang terkejut kerana pasportnya tiada masalah, malah tiada sebarang kesan koyak ketika melepasi kaunter keluar negara di Singapura.

Lelaki itu juga mendakwa, pegawai berkenaan tidak mahu memanggil ketuanya apabila diminta, sebaliknya memintanya memarkir motosikalnya di tepi dan bertemunya di satu sudut di lokasi itu.

“Dia memberitahu akan membantu sekiranya saya membantunya dengan memberinya wang,” dakwanya.

Dia kemudian mengambil pasportnya dan kembali ke Singapura sebelum dinasihatkan membuat laporan polis dan turut dimaklumkan kes seumpama itu bukan yang pertama berlaku.

-HM