Rosmah disoal SPRM lebih 12 jam

Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor masih berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk diambil keterangan.

Rosmah yang hadir memberi keterangan bagi kali kedua dalam tempoh tiga bulan ditemani peguamnya K Kumaraendran tiba di bangunan SPRM seawal 9.50 pagi.

Memakai baju kurung berwarna hijau, Rosmah dilihat tenang. Seorang pembantunya turut dilihat hadir.

Rosmah sempat tersenyum dan berbual dengan pegawai SPRM ketika menghampiri lobi bangunan suruhanjaya itu.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 6.30 pagi untuk membuat liputan kes itu.

Spekulasi mengatakan bahawa beliau mungkin ditahan hari ini dan didakwa esok.

Ditanya tentang perkara ini, Kumaraendran berkata dia tidak mengetahui sama ada Rosmah akan ditahan.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki bagaimanapun menafikan spekulasi itu.

“Tidak benar,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, pada 5 Jun, Rosmah disoal siasat selama lima jam berhubung siasatan SPRM ke atas syarikat subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Semalam, pegawai SPRM ke rumah Rosmah di Taman Duta, Jalan Langgak Duta bagi memberi notis kepada Rosmah untuk dipanggil ambil keterangan kes sama.
Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram. -MK