UMNO Jangan Mahu Mabuk Kuasa Lagi

Sudah hampir lima bulan Umno kehilangan kuasa di Putrajaya namun bagi salah seorang pemimpin yang mengalami sendiri keperitan ditolak oleh pengundi pada 9 Mei lalu, parti itu tidak seharunya terburu-buru mengatur langkah.

Lebih buruk jika Umno itu dilihat seperti mabuk kuasa.

Itu pandangan dinyatakan Naib Presiden Umno Datuk Seri Khaled Nordin kepada Malaysiakini dalam temu bual eksklusif di Kuala Lumpur hari ini.

“Umno tidak terdesak sebab saya fikir parti ini akan kekal relevan (walaupun tanpa menjadi kerajaan) dan jangan mabuk hanya untuk dapat kuasa.

“Jangan mabuk soal kuasa, jangan fikir soal sebegitu,” katanya.

Sebaliknya menurut Khaled Umno perlu kekal sebagai Umno dan bukan terpengaruh untuk menyertai mana-mana parti bagi menubuhkan kerajaan

Sebagai Umno kata Khaled parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk “dilamar” namun bukan bertindak sebaliknya.

“Sesiapa nak melamar kita, kita terbuka, tetapi kita pergi melamar orang lain, saya rasa itu tak perlu,” katanya.

Naib presiden ketiga

Untuk rekod Khaled ialah menteri besar ke-15 Johor iaitu sebuah negeri yang mempunyai sejarah penting kepada politik Umno.

Di negeri itulah parti Melayu itu ditubuhkan dan untuk berpuluh tahun ia menjadi kubu kuat kepada parti terbabit.

Bagaimanapun PRU ke-14 lalu membawa khabar mengejutkan buat Umno dan BN apabila mereka dinafikan untuk mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan negeri.

Khaled sendiri kalah di dua kerusi yang ditandinginya iaitu kawasan parlimen Pasir Gudang dan kerusi dewan undangan negeri Permas.

Di peringkat nasional Khaled agak lantang bersuara memperkatakan mengenai Umno terutama selepas PRU ke-14. Apabila pemilihan berlangsung beliau menyertai persaingan di peringkat naib presiden bersama tujuh yang lain.

Turut menawarkan diri ialah bekas menteri kewangan kedua yang agak terbuka membuat teguran kepada pimpinan Umno, Datuk Johari Abdul Ghani.

Apabila keputusan diperolehi Khaled berada di tempat ketiga di belakang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid. Johari pula gagal mendapat undi mencukupi bagi mengisi satu daripada tiga kerusi naib presiden.

Kata Khaled mendapatkan kuasa segera tidak seharusnya menjadi fokus utama Umno ketika ini sehingga perlu “melamar” pihak lain untuk menjalin kerjasama.

MCA usah kebudak-budakan

Sebabnya kata beliau lama-kelamaan orang Melayu akan sedar bahawa mereka memerlukan Umno dan penting buat mereka.

Pada masa sama Khaled menjelaskan ketika ini masih ada ramai ahli dan pemimpin Umno yang mengambil tanggungjawab untuk memulihkan parti itu walaupun ada sebahagian pemimpin meninggalkannya.

“Bukan Umno yang pergi melamar. Fokus Umno ialah bagaimana memperkuatkan parti,” katanya.

Dalam pertemuan itu Khaled juga ditanya mengenai ‘kehilangannya’ semasa pemimpin lain menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu. -MK