Rosmah, Ku Nan Disiasat Oleh SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhasrat menyoal siasat isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor dan bekas pembantunya Rizal Mansor hari ini mengenai projek hibrid solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Sumber berkata penyiasat SPRM juga telah memanggil bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor bagi merakam keterangannya mengenai perjanjian tanah melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Menurut sumber, SPRM sedang menyiapkan siasatan berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion, yang bertujuan membekalkan elektrik kepada 369 buah sekolah di kawasan pedalaman di Sarawak.

“Dia (Rosmah) mungkin ditangkap hari ini sebelum dibawa ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan pada hari Khamis,” kata sumber itu.

Isnin lalu Rosmah dan Rizal dilapor mungkin ditahan minggu ini dengan beberapa tuduhan berkaitan projek hibrid solar.

Ini berlaku lebih sebulan selepas Rosmah menghadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya.

Malaysiakini mendedahkan pada Jun bahawa Kementerian Pendidikan, di bawah pentadbiran terdahulu, telah memberikan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Bintulu di bawah “arahan langsung” daripada Najib.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengenai peranan Rosmah dalam projek tersebut kerana sumber enggan mendedahkannya.

-MK